Label

Selasa, 25 April 2017

Abdullah Fahim tetapkan tarikh kemerdekaan

ARKIB : 24/08/2004
Oleh Zulkifli Jalil (Wartawan Utusan)
ALLAHYARHAM Abdullah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Abdullah Fahim adalah ulama terkemuka di Tanah Melayu dan seluruh Nusantara antara tahun 1930-an hingga 1950-an. Kepakaran beliau dalam bidang agama dan astronomi mendapat pengiktirafan ketika itu.
Jasa datuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini kepada negara tidak ternilai dan antara yang kekal dalam ingatan ialah apabila beliau menentukan tarikh kemerdekaan negara.
Ini diluahkan sendiri oleh Abdullah Fahim apabila ditanya pendapatnya oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Allahyarham Tun Saadon Jubir pada 1955 sejurus sebelum menyertai rombongan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London.
Menurut adik bongsu Perdana Menteri, Mohamad Tahir, datuknya menetapkan tahun 1957 sebagai masa amat sesuai untuk perisytiharan kemerdekaan negara (ketika itu Malaya) kerana mengambil kiraan falak.
Katanya, Abdullah Fahim menyatakan sistem suria pada tahun itu adalah selari dan sesuai untuk melakukan niat murni tersebut. Menyorot perkara itu, beliau berkata, antara yang dinyatakan datuknya kepada Saadon ialah: ``Jika tak dipakai tarikh kemerdekaan pada 1957 itu, Tanah Melayu mungkin akan lewat tiga tahun lagi, yakni hanya tahun 1959 untuk bebas sepenuhnya daripada British''.
``Tarikh 31 Ogos tahun itu yang dipilih sebagai hari mengisytiharkan kemerdekaan juga adalah cetusan rasa arwah datuk dengan mengambil kira Indonesia dan India yang memilih Ogos juga sebagai bulan kemerdekaan masing-masing,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Allahyarham Abdullah Fahim dikatakan lahir di tanah suci Mekah pada 1870 di Kampung Shaab Ali berhampiran Masjidilharam.
Ada juga berpendapat Allahyarham lahir di Kampung Kubor Panjang, Kedah dan berhijrah ke Mekah bersama bapanya semasa masih kanak-kanak.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis Melayu yang tinggal di Mekah. Hasil perkongsian hidup, mereka dianugerahkan dua anak lelaki iaitu Ahmad Ghazali dan Ahmad. Ahmad bin Abdullah inilah yang kemudiannya dikenali sebagai Ahmad Badawi - bapa Perdana Menteri.
Semasa di Mekah, Abdullah Fahim menjadi guru di Masjidilharam dalam bidang ilmu falak, usuluddin, tafsir al-Quran dan hadis. Anak muridnya berasal dari Tanah Melayu, Brunei, Jawa, Filipina, Patani, Arab, India dan China.
Allahyarham kembali ke Tanah Melayu pada 1916 dan seterusnya mengajar di rumah pusakanya di Kepala Batas, Seberang Perai.
Sebagai ulama terkemuka, Abdullah Fahim sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk umat Islam negara ini termasuklah mencipta Takwim Solat pertama bagi umat Islam di Tanah Melayu.
Meskipun pada umumnya masyarakat Melayu lebih mengenali Abdullah Fahim hanya seorang alim, pendidik dan pendakwah, beliau sebenarnya turut memberi sumbangan dalam bidang politik tanah air walaupun untuk masa yang singkat. Secara khususnya beliau terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan Malaya.
Bagi beliau, umat Melayu mestilah dididik dengan pengetahuan Islam yang betul dan diperbaiki nasib mereka dari aspek sosioekonomi. Justeru, beliau melihat bahawa kemerdekaan jiwa amat penting dan hal ini hanya dapat dicapai apabila orang Melayu merdeka daripada penjajahan Inggeris.
Di daerah Seberang Perai yang terkenal dengan pengajian pondok, perjuangan ke arah kemerdekaan didukung oleh golongan berpendidikan agama. Apabila Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) dihidupkan semula pada Mac 1946, Abdullah Fahim dipilih mempengerusikan Bahagian Agama.
Dalam konteks inilah, beliau terlibat dalam gerakan anti-Malayan Union dan seterusnya menyertai UMNO yang dipimpin oleh Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar. Setelah PMSP dihidupkan semula, ia turut menyertai Kongres Melayu yang diadakan di Kuala Lumpur pada Mac 1946, dengan matlamat untuk menggabungkan semua tenaga orang Melayu bagi menentang gagasan Malayan Union yang ditaja oleh Inggeris. Hasil kongres ini membawa kepada penubuhan UMNO.
Berikutnya, Abdullah Fahim mendaftarkan dirinya sebagai ahli pertama UMNO di Seberang Perai. Allahyarham yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama sekitar tahun 1950-an pada usia yang amat tua. Ini kerana Pulau Pinang memerlukan seorang mufti bagi menyelesaikan persoalan yang berkaitan perundangan Islam. Beliau sempat menyandang jawatan itu selama lima tahun.
Penglibatannya dalam bidang politik tidak berpanjangan kerana menjelang pilihan raya umum 1955, beliau meninggalkan terus arena tersebut untuk memberi tumpuan dalam bidang keagamaan.
Walaupun tidak lagi aktif dalam politik, Abdullah Fahim menggalakkan anaknya Ahmad Badawi berkecimpung dalam UMNO dan seterusnya berjaya sebagai ahli politik berkaliber. Setelah berkhidmat dengan begitu cemerlang untuk agama dan bangsa berdasarkan tuntutan Islam, Abdullah Fahim kembali ke rahmatullah di rumahnya di Kepala Batas pada pukul 8 malam, 28 April 1961.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4fGUj9UvY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 9 April 2016

Wan Abdullah Tuan Tabal khatib Kelantan

 ARKIB : 30/10/2006
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
NAMA dalam percakapan ialah Tuan Tabal. Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdus Shamad bin Muhammad Shalih al-Kalantani. Kisah beliau telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, pada 4 Oktober 2004.

Demikian juga anak beliau, Haji Wan Muhammad Al-Kalantani, Mufti Kelantan yang ke-IV, diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, pada 3 April 2006.

Artikel ini memperkenalkan anak Tuan Tabal yang bernama Haji Wan Abdullah. Saya segerakan riwayat anak Tuan Tabal dalam keluaran ini, kerana pada pertengahan Ramadan saya terima panggilan telefon, disusuli dengan surat tarikh 23 Ramadan 1427 H/18 Oktober 2006 dari sahabat saya Ustaz Mahmud Abdul (bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia) yang minta kehadiran saya dan bahan-bahan pameran pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Silaturahim Ahli Keluarga Tuan Tabal yang akan diadakan pada Ahad, 19 November ini di Dewan Muslimat, Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur. Isteri Ustaz Mahmud Abdul sendiri adalah keturunan Tuan Tabal ulama yang sangat terkenal itu.

Seiringan dengan itu, sempena hari raya, saya terlebih dahulu mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1427H kepada pihak Utusan Malaysia, maaf zahir dan batin. Kerjasama dan jasa Bahagian Agama, Utusan Malaysia, yang menyiarkan artikel ulama-ulama kita, sangat-sangat disanjung tinggi. Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, saya tujukan juga kepada semua pembaca terutama mereka yang tekun mengikuti ruangan Ulama Nusantara.

Oleh sebab anak Tuan Tabal yang bernama Haji Wan Musa (Mufti Kelantan), banyak ditulis orang maka saya ganti dengan adik beliau, iaitu Haji Wan Abdullah. Sekurang-kurangnya ada dua orang bernama Haji Wan Abdullah keturunan Tuan Tabal yang hidup sezaman dan sama-sama berperanan penting dalam perkembangan Islam di Kelantan.

Haji Wan Abdullah yang pertama ialah anak Tuan Tabal (yang diriwayatkan dalam artikel ini) dan yang seorang lagi ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Musa, berertilah Haji Wan Abdullah ini adalah cucu Tuan Tabal.

Haji Wan Abdullah bin Tuan Tabal lahir pada 1293 H/1877M, wafat Jamadilawal 1345 H/Disember 1926M. Mendapat pendidikan asas tentang Islam daripada ayahnya sendiri, Tuan Tabal, di Kota Bharu Kelantan. Wan Abdullah bersama abangnya Wan Musa melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Guru utama bagi kedua adik beradik tersebut, ialah Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Syeikh Wan Ali Kutan adalah ayah saudara bagi kedua-duanya, kerana ibu mereka Hajah Wan Kaltsum, adalah kakak kepada Syeikh Wan Ali Kutan (sila lihat Utusan Malaysia, 4 Oktober 2004).

Sebagaimana Syeikh Wan Ali Kutan, demikian juga dengan Tuan Tabal, masih termasuk dalam lingkungan keluarga besar ulama-ulama Patani yang di dalamnya juga termasuk Syeikh Ahmad al-Fathani.

Jadi tidaklah menghairankan, mulai dari Tuan Tabal dan semua anak-anaknya yang belajar di Mekah, sangat mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani berbanding ulama-ulama lainnya. Dua perkara memang terjalin sejak lama, iaitu jalinan satu asal usul datuk nenek. Yang kedua, jalinan keilmuan yang mantap dari keluarga besar tersebut sejak pertama kedatangan Islam di rantau ini hingga ke zaman mereka yang diriwayatkan ini. Bahkan tidak dapat dinafikan hingga artikel ini saya tulis, keturunan mereka masih tetap aktif dalam pelbagai bidang, termasuk masih ramai yang menjadi ulama.

SUMBER PENYELIDIKAN

Satu-satunya sumber utama untuk menyusun biodata Nik Wan Abdullah ialah kitab Majmu' Khuthab al-Juma' al-Malayuwiyah yang disunting oleh Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani, yang diterbitkan oleh The Ikhwan, Kota Bharu, Kelantan dan dicetak oleh Singapura Jawi Press, Jalan Engku Aman Geylang Road, Singapura, pada 21 Syaaban 1356 H.

Petikan beberapa maklumat sebagai berikut, “... yang tersunting di dalam risalah ini, hamba guguskan dia daripada pungutan dan gubahan al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani.” (Majmu' Khuthab, pada kulit depan).

Diperjelas lagi dengan kalimat, “... yang dipungutkan dia daripada lautan bahasa Arab, kemudian digubahkan dia kepada kebutan-kebutan bahasa Jawi (Melayu Kelantan) yang sangat munasabah dengan golongan masanya oleh al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani. Telah mendiruskan (maksudnya: menyirami) Allah Taala dengan hujan rahmat-Nya atasnya, lagi reda Allah kepadanya. Maka berasalah di dalam hati hamba akan bahawa hamba jadikan dia satu gugusan yang ditentu namanya ...” (Majmu' Khuthab, hlm. 6).

Dalam bentuk syair Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani memberi maklumat tentang aktiviti Haji Wan Abdullah sebagai berikut;

“Nama Muallif hamba sebutkan,

Haji Wan Abdullah itu dimasyhurkan

Di Kota Bharu Kelantan ia istiqama,

sebelah hilir masjid tahulah ia

Haji Abdus Salam, kampung yang bernama,

di situlah ia mengajar ugama

Hendaklah ikhwan dia begitu,

setiap Jumaat digilirkan satu.”

Daripada beberapa maklumat ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah pernah menjadi khatib di Masjid Muhammadi sekitar dua tahun, iaitu tahun 1916 - 1918 M. Selain itu beliau pernah menjadi Ahli Majlis Agama Islam Kelantan. Melalui pelbagai sumber diriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang berpegang kukuh dalam fiqh Mazhab Syafie, seperti juga abangnya yang sulung, Mufti Haji Wan Muhammad, tetapi dalam beberapa hal ada sedikit perbezaan dengan Mufti Haji Wan Musa.

Selain ahli dalam fiqh Mazhab Syafie, beliau juga ahli dalam ilmu usuluddin, mengikut Mazhab Ahli Sunah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Pada konteks kepelbagaian pemikiran pula Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang mendalam tentang falsafah.

Sebagaimana ulama-ulama tradisional lainnya, Haji Wan Abdullah, mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang tasawuf. Sekali gus beliau pengamal Tarekat Sufiyah, terutama Tarekat Ahmadiyah seperti yang diamalkan oleh ayah beliau Tuan Tabal, demikian kedua-dua abangnya Mufti Haji Wan Muhammad dan Mufti Haji Wan Musa.

Haji Wan Abdullah adalah pengamal Tarekat Ahmadiyah, sungguhpun beliau lebih muda dari Tok Kenali, tetapi ketika di Mekah sama-sama belajar kepada ulama-ulama yang telah disebutkan di atas. Riwayat Tok Kenali saya tulis dalam Utusan Malaysia, 2 Oktober 2006, tetapi ada pembaca kurang puas kerana tarekat yang diamalkan Tok Kenali tidak saya sebut.

Sebenarnya perkara tersebut belum perlu saya jawab dalam ruangan ringkas ini, tetapi perlu saya tegaskan bahawa saya tidak sependapat dengan golongan yang berpandangan bahawa tarekat adalah ajaran sesat.

Ajaran tarekat mempunyai hujah yang kuat berdasarkan kepada al-Quran, hadis dan diamalkan oleh para Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Ketika sesuatu Tarekat Sufiyah belum diberi nama pengkhususan, dalam al-Quran dan hadis disebut dengan zikrullah.

Oleh itu, ulama yang beramal dengan sesuatu tarekat termasuk Haji Wan Abdullah mempunyai pilihan yang tepat, bukannya bidaah dhalalah seperti yang dituduhkan oleh golongan yang anti- tarekat.

Penulisan khutbah

Haji Wan Abdullah menghasilkan penulisan tentang khutbah yang kemudian dikumpulkan oleh Ismail bin Kecik bin Haji Awang Abu bin Haji Mahmudi al-Kalantani. Himpunan dan suntingan karya Haji Wan Abdullah yang diusahakan itu diberi judul Majmu' Khuthab al-Juma' al-Malayuwiyah li Tafhim man La Ya'rif al-'Arabiyah.

Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani selesai menghimpun dan menyunting karya Haji Wan Abdullah yang tersebut pada hari Ahad, 5 Rabiulakhir 1343 H. Riwayat hidup Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani masih belum diketahui tetapi berdasarkan beberapa kalimatnya dapat dipastikan bahawa beliau adalah seorang murid yang setia kepada Haji Wan Abdullah.

Sebelum membicarakan sesuatu kandungan khutbah Haji Wan Abdullah terlebih dulu membicarakan hukum-hukum yang tertakluk dalam persekitaran khutbah, syarat-syaratnya dan lain-lain.

Semua yang dibicarakan adalah sama dengan kebanyakan kitab dalam Mazhab Syafie. Sungguhpun demikian, jika kita teliti ada perkara yang nadir atau jarang dibicarakan terdapat juga dalam Majmu' Khuthab al-Juma'. Kenadiran atau perkara yang jarang ditulis oleh orang lain, lalu ditulis oleh seseorang ulama, di situlah letak nilai ilmu dan seni seseorang ulama dalam menerapkan pendidikan dan dakwahnya.

Di antara perkara nadir yang terdapat dalam karya tersebut seperti tulisan beliau: “Dan makruh berkata-kata pada tatkala khatib membaca khutbah pada Mazhab Imam kita Syafie. Ada pun pada mazhab imam yang lain haram berkata-kata pada ketika itu.” (Majmu' Khuthab, hlm. 14).

Masih dalam kategori perkara nadir, Haji Wan Abdullah menganjurkan beberapa perkara yang sunat dikerjakan ketika sewaktu menghadiri ibadah Jumaat, beliau tulis: “Dan sunat memakai serban, kerana hadis bahawasanya Allah s.w.t. dan segala Malaikat-Nya selawat sekalian atas yang memakai serban hari Jumaat. Dan sunat memakai serban bagi sekalian sembahyang. Dan tersebut pada hadis satu sembahyang dengan memakai serban afdal daripada dua puluh lima sembahyang dengan tiada memakai serban ...” (Majmu' Khuthab, hlm. 16).

Judul-judul khutbah yang terdapat dalam Majmu' Khuthab karya Haji Wan Abdullah di antaranya ada dua judul membicarakan tentang bulan Ramadhan. Mengenai ini dicatat tarikh selesai penulisan akhir Ramadan 1338 H/akhir Jun 1919 M. Terdapat satu judul tentang Hari Raya Aidilfitri. Haji Wan Abdullah memang diketahui umum bahawa beliau adalah seorang ulama yang sentiasa mengamalkan wirid, tasbih, zikir dan lain-lain, sehingga dalam khutbah Aidilfitri sempat juga beliau bicarakan perkara itu.

Kata beliau: “Tersebut di dalam hadis, Barang siapa berkata Subhanallah wa bi hamdih pada hari raya, 300 kali, dan dihadiahkan pahalanya kepada segala orang yang mati daripada segala orang yang Islam, nescaya masuklah pada tiap-tiap kubur mereka itu 1,000 cahaya. Dan Allah s.w.t menjadikan orang yang menghadiahnya pada kuburnya 1,000 cahaya, apabila ia mati.” (Majmu' Khuthab, hlm. 83).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz45JgifPj6 © Utusan Melayu (M) Bhd